Syeikh Ahmad al-Fatani.
Guru Tok Kenali
Nama penuh permata
kebanggaan ulama’ Nusantara ini ialah Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zain
Bin Wan Mustafa al-Fatani. Menurut Ahmad Fathi al-Fatani (2001: 55)
Syeikh Ahmad al-Fatani berasal dari keturunan para muballigh agama Islam
yang datang dari Hadhramaut. Dikatakan bahawa nasab silsilahnya
bertalian dengan Saidina Abbas Bin Abdul Mutalib, bapa saudara
Rasulullah S.A.W. Wan Mohd Shaghir Abdullah pula (2005:13), yang juga
cucu kepada Syeikh Ahmad al-Fatani pula menyatakan bahawa, nama lengkap
Syeikh Ahmad al-Fatani ialah: Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zainal Abidin
Bin Datu Panglima Kaya Syeikh Haji Wan Mushthafa Bin Wan Muhammad Bin
Wan Muhammad Zainal Abidin (Faqih Wan Musa al-Jambui al-Sanawi
al-Fatani) Bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi Bin Ali al-Masyhur
al-Laqihi.
Walau bagaimanapun, menurut Wan Shaghir lagi, nasab
yang sahih dan ditahqiq dari Syeikh Ahmad al-Fatani sendiri ialah: Ahmad
Bin Zainal Abidin Bin Haji Wan Mushthafa Bin Wan Muhammad Bin Wan
Muhammad Zainal Abidin al-Fatani. Jika diteliti, asal usul nasab Syeikh
Ahmad merupakan golongan ulama’ yang mashur. Datuk beliau Syeikh Mustafa
Bin Muhammad (meninggal 1863 M) merupakan seorang ulama’ masyhur pada
zamannya. Beliau juga merupakan salah seorang hulu balang Sultan Fatani
Darus Salam. Selepas tentera Raja Patani kalah perang dan dijajah bangsa
Siam, beliau membuka pondok pengajian di Kampung Sena Janjar, dalam
kawasan kampung Sena, daerah Jambu. Dikatakan beliau mendapat
‘pembukaan’ dari Allah dengan diperlihatkan air telaganya melimpah
keluar pada suatu malam akhir Ramadan, yang beliau fahami sebagai
petanda malam Lailatu al-Qadar. Beliau telah berdoa pada sisi telaga itu
agar empat orang anak lelakinya menjadi ulama’ dan setiap zuriat
daripada anaknya itu, ada yang menjadi ulama’ sampai ke hari Qiamat.
Empat anak lelakinya telah menjadi ulama terbilang. Anak pertamanya,
Syeikh Muhammad Zain, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fatani. Anak keduanya,
Syeikh Abdul Qadir, yang dikenali sebagai Tok Bendang Daya II. Anak
beliau yang ketiga pula ialah Syeikh Wan Abdul Latif telah bergiat di
Bangkok, sementara anak yang keempat ialah Syeikh Wan Daud yang menjadi
guru di Makkah (Wan Shaghir 2005: 25-27). Ayah Syeikh Ahmad al-Fatani
pula, iaitu Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fatani (meninggal 1908
M), kemudian disingkatkan dengan Syeikh Muhammad Zain juga merupakan
ulama’ yang tersohor. Aktiviti sepanjang hayatnya ialah mengajar di
Pondok Sena Janjar dan kemudian mengajar pula di Makkah. Syeikh Muhammad
Zain juga telah menghasilkan beberapa karangan, antaranya sebuah
perbahasan tentang haji dan sebuah lagi membicarakan Tharikat
Syathariyah. Antara murid beliau yang terkenal ialah Dato’ Abdullah Bin
Musa (meninggal 1907 M) yang pernah menjawat jawatan Mufti dan Hakim
Besar Kerajaan Johor. Ibu Syeikh Ahmad pula adalah berketurunan daripada
Syeikh Shafiyuddin yang berasal daripada keturunan Sayyidina Abbas Bin
Abdul Mutallib, iaitu bapa saudara Rasulullah S.A.W.. Menurut riwayat,
Syeikh Shafiyuddin berasal dari Pasai (Aceh). Dari catatan keturunannya
beliau berketurunan Khalifah al-Muctasim Billah dari keluarga Bani
Abbasiah. Datuk neneknya datang ke Pasai untuk menyebarkan Islam. Syeikh
Shafiyudin datang ke Paya Patani pada tahun 1400 Masihi untuk
menyebarkan Islam dan telah berjaya mengislamkan Raja Antira di Patani.
Semua catatan sejarah Patani menceritakan peristiwa tersebut. Beliau
juga digelar Dato’ Seri Raja Faqeh. Syeikh Shafiyuddin juga telah
mengarang beberapa buah kitab dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.
Antaranya ialah kitab ’Tarikh Patani’ dalam bahasa Arab, dan ’Kitab
Sia-Sia Berguna’ sebuah kitab perubatan (Wan Shaghir,2005: 33-34). 3.2.2
Kelahiran Syeikh Ahmad al-Fatani Syeikh Ahmad al-fatani dilahirkan pada
malam Jumaat 5 Syaaban 1272 Hijrah bersamaan 10 April 1856 Masihi di
kampung Jambu, Fatani (Ahmad Fathi,2001: 55). Beliau sendiri telah
menulis tentang kelahirannya di dalam kitabnya Hadiqat al-Azhar (1321
H:178-179) dengan menyebut: (Faedah) Diperanakkan Ahmad Bin Muhammad
Zain Bin Mustafa Bin Muhammad Fatani pada malam jumaat waktu jendera
budak 5 haribulan Syaaban daripada tahun 1272, tahun ular besar pada
bulan 5 daripadanya dengan istilah Siam pada hari yang keenam daripada
bulan yang keenam pada istilah Melayu dan tempat beranaknya pada kampong
Jambu, negeri Jerim daripada bumi Patani dan mansya’nya kampong Jambu
itu dan Kampong Sena Janjar. Menurut Wan Shaghir (2005:37-38) terdapat
berbagai-bagai cerita mitos tentang kelahiran Syeikh Ahmad al-Fatani.
Antaranya ialah tentang ibunya yang bermimpi melihat isi ubi
bertimbun-timbun, lalu dengan serta merta semuanya pecah berderai. Di
mana saja tempat jatuhnya pecahan ubi tersebut maka akan tumbuh ubi yang
baru pula. Mimpi ini terjadi pada tiga malam Jumaat berturut sebelum
kelahiran Syeikh Ahmad al-fatani. Ibu Syeikh Ahmad bertemu alim ulama’
untuk mengetahui tafsiran mimpi tersebut. Alim ulama’ menta’birkan
bahawa anak yang dikandung itu akan membawa rahmat dan ahli ilmu. Ilmu
yang berasal daripadanya akan berkembang lagi. Di mana saja muridnya
pergi maka mereka dapat menyebarkan ilmu yang berasal daripadanya.
Tiba-tiba pada malam Jumaat berikutnya, lahirlah anak yang dikandung itu
iaitu Syeikh Ahmad al-Fatani. 3.2.3 Kewafatan. Syeikh Ahmad al-Fatani
menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Zulhijjah 1325 H bersamaan
14 Januari 1908 M di Mina dalam usia 52 tahun. Jenazahnya dibawa ke
Makkah dan disemadikan di perkuburan Ma’ala, Makkah al-Mukarramah.
Kuburnya terletak di bawah kaki Siti Khadiah R.A, Ummu al-Mukminin,
isteri pertama Rasulullah SAW (Wan Shaghir, 2005:117) 3.3 PENDIDIKAN
Pada mulanya Syeikh Ahmad al-Fatani dididik oleh bapanya sendiri iaitu
Haji wan Muhammad Zain atau juga dikenali dengan Wan Din Bin Syeikh Wan
Mustafa. Selepas itu beliau berguru pula dengan bapa saudaranya Syeikh
Wan Mustafa yang terkenal dengan gelaran ’Tok Guru Bendang Daya II’
merupakan seorang guru pondok yang sangat terkenal di Patani pada
pertengahan kedua abad kesembilan belas Masihi (Ahmad Fathi:55).
Selanjutnya, ketika berusia empat tahun beliau telah dibawa oleh
ayahandanya dan ibundanya menetap di Makkah. Mengikut catatan Syeikh
Abdullah Mirdad pula, ketika itu beliau berusia enam tahun. Ketika di
Makkah, beliau belajar pula dengan para ulama’ Makkah. Mengikut
keterangan Syeikh Abdullah Mirdad (1978) Syeikh Ahmad Ahmad al-Fatani
telah menghafaz al-Quran dan beberapa matan.
Antara guru yang
sering beliau dampingi ialah Sayyid Umar al-Syami al-Buqaciy, dengannya
beliau mendalami pelbagai disiplin ilmu seperti bahasa Arab, usuluddin,
tafsir, hadis, feqah, macani, bayan, carudh dan lain-lain lagi. Dalam
usia yang masih muda beliau telah diijazahkan dan diizinkan mengajar.
Beliau merupakan seorang guru yang alim, juga seorang penyair. Wan
Shaghir (2005) mengatakan bahawa ketika di Makkah Syeikh Ahmad al-Fatani
tidak menampakkan diri sebagai seorang anak yang rajin belajar, dia
belajar secara sembunyi-sembunyi. Dengan demikian kedua-dua orang tuanya
mula rasa resah jika hal demikian berterusan. Namun, keadaan tersebut
terubat apabila ibu bapanya mendapati beliau dapat menjawab pelbagai
soalan yang diajukan dan dapat menghafaz matan-matan melebihi
kawan-kawannya yang lain. Ketika berumur dua belas tahun beliau telah
sanggup mengajar ilmu nahwu dan saraf kepada orang dewasa.
Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fatani telah berangkat ke Baitu al-Maqdis
untuk menimba ilmu. Diriwayatkan, beliau telah meminum air kencingnya
sendiri kerana ketiadaan air minuman ketika perjalanan tersebut. Di
Baitu al-Maqdis, beliau telah mempelajari ilmu perubatan dan ilmu-ilmu
agama dengan ulama’ di sana. Setelah dua tahun menimba ilmu di Baitu
al-Maqdis, beliau pulang ke Makkah. Namun kedua ibu bapanya agak
terkejut kerana dalam kehidupan seharian beliau tidak kelihatan seperti
seorang ulama’, sebaliknya seorang tabib yang hanya mahir dalam membuat
berbagai-bagai jenis ubat-ubatan. Lantas, ayahandanya menyuruhnya
memperdalamkan lagi ilmu pengetahuan agama agar menjadi seperti
ulama’-ulama’ lampau Fatani Dar al-Salam seperti Syeikh Daud Bin
Abdullah al-Fatani. Harapan ayahandanya itu ternyata telah menyentuh
lubuk hatinya, lantas beliau berangkat menuju Mesir kerana ketika itu
Al-Azhar di Mesir cukup terkenal sebagai pusat ilmu pengetahuan Islam
(Wan Shaghir: 41-43).
Syeikh Ahmad al-Fatani merupakan antara
golongan pertama anak melayu yang diterima masuk belajar di Universiti
al-Azhar lebih dikenali pada ketika itu dengan ”Masjid Jami’ al-Azhar” .
Al-Azhar pada ketika itu sedang dalam proses peralihan dari sistem
tradisional kepada sistem pendidikan moden. Disebabkan beliau seorang
sahaja dari Dunia Melayu yang menuntut di situ, beliau telah berusaha
memperkenalkan dunia Melayu kepada tokoh-tokoh penting di universiti
tersebut dengan tujuan memudahkan pelajar-pelajar daripada negeri Melayu
dapat memasuki al-Azhar dikemudian hari. Selain itu Syeikh Ahmad
al-Fatani telah memperkenalkan ”Ruwwaq al-Jawi” juga di al-Azhar
ditengah-tengah ruwwaq-ruwwaq yang lain.Walaupun keseorangan namun
beliau tetap menggunakannya.
Setelah beliau pulang ke Makkah,
barulah anak-anak Melayu makin ramai menjadi mahasiswa al-Azhar. Mereka
semuanya adalah murid Syeikh Ahmad al-Fatani yang diutuskannya untuk
belajar di universiti tersebut bagi memperdalamkan ilmu pengetahuan demi
memajukan umat Melayu pada peringkat awal menuju ke zaman moden. Semua
mereka akhirnya itu telah menjadi tokoh-tokoh penting dalam perkembangan
Islam dan bangsa Melayu di Dunia Melayu. Syeikh Ahmad al-Fatani tidak
pernah mendapat kiriman wang daripada ayahandanya. Ini kerana beliau
sendiri yang tidak mahu menyusahkan kedua ibubapanya disamping mahu
hidup berdikari. Sungguhpun dihimpit kesusahan hidup di perantauan namun
tiada apa yang dapat menggagalkannya dalam usaha menuntut ilmu. Ini
terbukti apabila Syeikh Ahmad al-Fatani telah berjaya menyusun beberapa
risalah ketika beliau menuntut di Masjid Jami’ al-Azhar.
Semua
karya tersebut adalah dalam bahasa Arab dan digubah dalam bentuk syair
yang begitu indah. Antara risalahnya itu ada yang di salin dan
dipelajari oleh pelajar-pelajar tingkat awal di Mesir dan negeri-negeri
lain di Benua Afrika. Antara risalah –risalah tersebut ialah (Wan Shagir
2005: 53) : i- Jumanat al- Tauhid (1293 H/ 1876M) ii- Munjiat al-‘Awwam
liManhaji al- Huda mina al- Zhalam (1293 H/ 1876 M ) iii- Unqud al-
La’ali (1296 H/1879 M) iv- Manzumat al-Awamil (1296 H/ 1879 M) Ketika di
Mesir juga Syeikh Ahmad al-Fatani mula terlibat dengan usaha mencetak
dan mentashih kitab-kitab Melayu Jawi. Dengan anisiatif beliau maka
sahabat beliau iaitu Syeikh Mustafa al-Babi al-Halabi telah banyak
mencetak kitab-kitab Melayu Jawi yang sebelumnya hanya disalin dengan
tulisan tangan.
Setelah tujuh tahun menimba ilmu pengetahuan di
Bumi Kinanah itu, beliau pun pulang ke Makkah. Dalam usia belum sampai
30 tahun beliau telah digelar sebagai Syeikh Ahmad al-Zaki Mesir (yang
bijak dari Mesir) oleh orang-orang Melayu Makkah. Pada tahun
kepulangannya itu juga, Syarif Hussin Raja Makkah mengadakan
pertandingan dakwah dan pidato di Masjid al-Haram. Perkara yang menjadi
perhatian pada pertandingan tersebut ialah nilai-nilai sastera atau
balaghah dalam bahasa Arab. Banyak ulama’ Arab Makkah mengambil bahagian
dan Syeikh Ahmad al-Fatani pun turut menyertainya.
Pertandingan
tersebut ternyata telah menyerlahkan kewibaan Syeikh Ahmad al-fatani.
Beliau telah diumumkan sebagai juara pertandingan tersebut. Mulai
peristiwa itu, nama beliau semakin dikenali oleh penduduk Makkah. Hasil
daripada pertandingan tersebut juga beliau juga telah dilantik oleh
Syarif Hussin sebagai ahli bahasa kerajaan. Tugas beliau ialah memeriksa
surat-surat rasmi kerajaan yang penting-penting sebelum diposkan.
Demikian juga beliau berperanan menggubah semua syair-syair yang hendak
dijadikan sebagai syair rasmi kerajaan (Wan Shaghir 2005: 54-56).
3.4 GURUR-GURU, ULAMA’ SEZAMAN DAN MURID-MURIDNYA Antara guru-guru
Syeikh Ahmad al-Fatani yang terkenal ialah ketika di Makkah dan Madinah:
1. Syeikh Umar al-Syami al Baqa’ie (1313 H)
2. Sayyid Hussein al-Habsyi (1330 H)
3. Syeikh Ahmad bin Zaini Dahlan (meninggal 1304 H)
4. Syeikh Hasbullah atau Muhammad bin Sulaiman (meninggal 1917 M)
5. Syeikh Muhammad Haqqi al-Nazili
6. Sayyid Muhammad Amin al-Ridhwan
7. Sayyid Muhammad Ali Bin Sayyid Zhahir al-Watri
8. Syeikh Abdul Qadir al-Syibli al-Tharablusi
9. Syeikh Ibrahim al-Rasyidi ( 1291 H)
10. Syeikh Ahmad al-Dandarawi (1327 H)
11. Syeikh Nik Dir al-Fatani atau nama penuhnya Abdul Qadir bin Abdul Rahman (meninggal 1898 M)
12. Syeikh Wan Muhammad Ali Kutan Bin Abdul Rahman al-Kelantani (meninggal 1913 M)
13. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani atau nama sebenarnya Muhammad Bin Ismail (meninggal 1915 M)
Sementara itu, antara guru beliau beliau yang terkenal ketika di Mesir ialah Syeikh Mustafa Afifi.
Antara ulama’ Melayu yang sezaman dengan Syeikh Ahmad dan turut
sama-sama mengajar di Masjid al-Haram Makkah ialah: 1. Syeikh Jamaluddin
Bin Idris dari negeri Sembilan (meninggal 1305 H) 2. Syeikh abdul
Rahman Bin Muhammad Ali berasal daripada Fatani (meninggal Ahmad Bin
Mahmud 1915 M) 3. Syeikh Ahmad Khatib Bin Abdul Latif dariapada
minangkabau(1916 M) 4. Syeikh Ahmad Bin Mahmud Yunus daripada Lingga 5.
Syeikh Usman Bin Abdul Wahhab daripada Sarawak 6. Syeikh Usman Bin
Shihabuddin daripada Pontianak, kalimantan. 7. Syeikh Abdul Salam
Kampar, Sumatra. 8. Syeikh Khatib Kumango, Batu Sangkar, Sumatra. 9.
Syeikh Abdul Mutallib Bin Tuan Abdullah Faqeh daripada Kelantan.
Sebagai ulama’ besar Syeikh Ahmad al-Fatani merupakan mahaguru kepada
ulama’ulama’ dan tokoh-tokoh besar yang bertebaran di serata pelusuk
Asia Tenggara pada abad ke-19 dan 20 (Wan Shaghir 1992). Antara ulama’
yang lahir dari didikan rabbani Syeikh Ahmad al-Fatani ialah :
1. Dato’ Hj. Abdullah Bin Musa al-Kelantani, musti kerajaan Johor (M. 1916)
2. Hj. Wan Ishak Bin Imam Hj. Abdullah, Mufti Kerajaan Kelantan (M. 1915)
3. tuan Guru Hj Umar Bin Ismail , sungai Keladi.
4. Tok Kemuning iaitu Hj Ismail Bin Hj Senik (M 1934)
5. Tok Kenali atau nama sebenarnya Hj. Muhammad Yusuf Bin Ahmad, Guru
pondok paling berpengaruh di Kelantan, merupakan anak murid kesayangan
Syeikh Ahmad.(meninggal 1933)
6. Tok Selihong iaitu Hj Abdul Rahman Syairb Bin Hj. Usman (M. 1935)
7. Tok Padang Jelapang, Hj. Wan Ahmad Bin Hj. Abdul Halim. (M. 1935)
8. Hj. Wan Musa Bin Hj. Abdul Somad, mufti Kerajaan Kelantan (M. 1939)
9. Dato’ Hj. Muhammad Bin Dato’Hj. Muhammad Said Khatib, Setiausaha Kerajaan Kelantan (M.1939)
10. Tuan Guru Hj. Ismail Bin Hj. Mahmud (1941)
11. Tuan Guru Hj. Muhammad Soleh Bin Hj. Hasan
12. Hj. Wan Musa Bin Wan Ahmad, Imam rantau Panjang (M. 1942)
13. Hj. Ismail Bin Hj. Abdul Majid al-Kelantani, Mufti Kerajaan Pontianak (1950)
14. Tuan Guru Hj. Wan Abdullah Bin Ismail, Geting(M. 1952)
15. Tuan Guru Hj. Ismail Kecik Bin Abdul Wahhab, nering (1953)
16. tok Bacok, hj, Usman Bin Hj. Muhammad (1953) 17. Tok Raja, Hj. Ibrahim Bin Muhammad Yusuf, Mufti Kerajaan Kelantan. (1955)
18. Tok Pulau Ubi, Hj, Yususf Bin Abdul Rahman
19. Dato’ Hj. Nik Mahmud Bin Hj. Ismail Qadhi, Menteri Besar Kelantan selama suku abad (1964)
20. Tuan Guru Hj Said Bin Abdul Salam, besut Terengganu (1897)
21. Hj. Muhammad Said Bin Hj. Jamaluddin, Negeri Sembilan
22. Tengku Mahmud Zuhdi Bin Tengku Abdul Rahman al-Fatani, Syaikh al-Islam Kerajaan Selangor (1956)
23. Syeikh Wan Daud Bin Syeikh Mustafa al-Fatani, Makkah (1936)
24. Syeikh Wan Muhammad Nor Bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani, Makkah (1944)
25. Hj. Muhammad Saleh, Qadhi Kemboja.
26. Hj. Muhammad Jabbar Khatib Bin Hj. Muhammad Arif, Maharaja Imam Kerajaan Sambas, Kalimantan.
27. Syeikh Muhammad Saad Mongka, Paya Kumbuh, Sumatra (1339 H)
28. Maulana Syeikh Sulaiman al-Rusli, Condong, Bukit Tinggi, Sumatra (1970)
29. Syeikh Mustafa Husin, Purba, Mendahiling, Sumatra (1955)
30. Syeikh Hasanuddin Bin Syeikh Maksum, bergelar Imam Paduka Tuan, mufti Kerjaan Deli, Sumatra
31. Tuan Guru Hj. Wan Abdullah Bendang Gucil, Patani ( 1913)
32. Tuan Guru Hj. Cik Ibrahim Bin Musa, Bendang Gucil.
33. Tuan Guru Hj. Abdul Samad Bin Muhammad Saman, Jakar, Patani (1945)
34. Hj. Wan Harun Bin Hj. Wan Hasan, Qadhi Patani
35. Tok Kelapa, Hj. Muhammad Husin bin Abdul Latif, Kelapa Baris, Patani (1948)
36. Tuan Guru Pakcu Yeh, Hj. Idris Bin Abdul Karim, Kampung Tok Raja Haji, Patani (1935)
37. Tok Bermin, Hj. Wan Muhammad Bin Hj. Wan Idris, Bermin, Patani
(1957) 38. Tuan Guru Hj. Wan Ahmad Faluan Bin Yususf, Nadi Tanjung,
Fatani (1958)
3.5 KELEBIHAN SYEIKH AHMAD AL-FATANI
Menyentuh
kelebihan Syeikh Ahmad al-Fatani, Ahmad Fathi al-Fatani (2001) di dalam
bukunya yang bertajuk “Ulama’ Besar dari Fatani” telah meletakkan nama
Syeikh Ahmad al-Fatani di senarai yang ketiga daripada 25 orang tokoh
yang diterjemahkan riwayat hidup mereka. Satu perkara yang menarik dan
menggambarkan kehebatan Syeikh Ahmad ialah apabila Ahmad Fathi al-Fatani
telah mengupas tentang keistemewaan Syeikh Ahmad yang tidak
dilakukannya pada tokoh-tokoh lain. Ahmad Fathi telah menggariskan
sembilan keistimewaan Syeikh ahmad al-Fatani. Pertama,
ulama’ Melayu pertama yang merintis penyelidikan dalam bidang kimia.
Kedua, ulama’ Melayu pertama yang belajar ilmu perubatan.
Ketiga, pentashih kitab-kitab Melayu yang paling awal di percetakan Mesir, Makkah dan Istanbul.
Keempat, pelopor penulisan sejarah yang jarang diterokai orang.
Kelima, seorang yang dapat mengupas untaian syair-syair Arab lama setanding dengan kebolehan jaguh Arab sendiri.
Keenam, seorang ulama’ siasah dan pejuang yang mengambil berat terhadap nasib bangsa Melayu.
Ketujuh, merupakan antara segelintir ulama’ Melayu yang yang
berkemampuan mengarang dalam bahasa Arab. Kelapan, berkebolehan mengajar
47 jenis ilmu dan yang
kesembilan, beliau merupakan ulama’ Melayu
pertama mengadakan soal jawab agama secara terbuka, lisan dan tulisan
yang telah dibukukan dengan judul ”al-Fatawa al-Fataniah”.
3.6 SUMBANGAN TERHADAP PERKEMBANGAN ILMU
Seperti yang telah dijelaskan, Syeikh Ahmad al-Fatani merupakan ulama’
yang sangat produktif dalam menghasilkan karya-karya ilmiah, sama ada
hasil karangannya sendiri mahupun dalam bentuk usaha pentashihan dan
pencetakan kitab-kitab. Jumlah sebenar karya yang dihasilkan Syeikh
Ahmad al-Fatani belum dapat diketahui secara tepat . Menurut Wan Shaghir
(2000:108-109), hal tersebut disebabkan sebahagian besar manuskrip
beliau yang dipindahkan dari Makkah ke Kampung Jambu, Patani, telah
dimusnahkan pada tahun 1970 oleh orang yang tak kenal nilai barang
tersebut. Menurutnya lagi setakat ini karya Syeikh Ahmad al-Fatani yang
ditemui ialah sebanyak 95 buah, 54 buah dalam bahasa Arab dan 41 buah
dalam bahasa Melayu. Sebahagian kitab-kitab tersebut sudah dicetak dan
sebahagiannya masih dalam bentuk manuskrip. Penglibatan Syeikh Ahmad
al-fatani dalam penulisan bermula semenjak beliau diusia remaja. Karya
pertamanya Nazam Nur al-Anam diusahakannya semenjak berusia 15 tahun.
Karya-karya dimasa mudanya iaitu ketika beliau belajar di Bait al-Maqdis
dan Mesir ditulisnya dalam bahasa Arab.
Setelah tamat pengajian di
Al-Azhar dan pulang ke Makkah barulah beliau mula menulis di dalam
bahasa Melayu (wan Shaghir 1992:44). Kemampuan beliau menguasai dan
mengajar 47 jenis ilmu sama ada ilmu agama dan ilmu dunia sepertimana
dijelaskan oleh Tok Kenali dalam majalah Pengasuh bilangan 17, sudah
cukup mengambarkan kehebatan ulama’ berdarah Melayu ini.
Khazanah
ilmu Syeikh Ahmad al-Fatani yang ditinggalkan dapat dilihat dalam
beberapa bidang ilmu pengetahuan : 3.6.1- Ilmu Bahasa Arab dan Sastera
Arab. Kemampuan dan kehebatan Syeikh Ahmad al-Fatani memang sudah
masyhur sehinggakan kemasyhurannya dalam sastera dan bahasa Arab lebih
menonjol berbanding ilmu-ilmu lain.. Jika tidak masakan beliau boleh
dilantik sebagai Ahli Bahasa Kerajaan diusia yang masih muda. Selain itu
beliau gelaran al-Adib (sasterawan) yang diberikan kepada beliau juga
menjelaskan lagi ketokohan beliau dalam aspek sastera dan bahasa (lihat
Wan Shaghir,2005:84-87), bahkan semenjak diusia 12 tahun beliau telah
digelar Sibawaih Shaghir kerana kejayaannya yang luar biasa dalam ilmu
nahu (Wan Shaghir,2005:93).
Sumbangan Syeikh Ahmad al-Fatani
dalam bidang bahasa Arab dapat dilihat melalui karya-karya beliau dalam
bidang ini. Sebahagian karyanya seumpama kitab Tashil Naili al-Amani
sudah terkenal di peringkat antarabangsa dan hingga ke hari ini masih
diguna pakai. Karya beliau dalam bidang ini yang telah dicetak adalah
seperti berikut:
1. Tashil Naili al-Amani. Siap ditulis pada tahun
1300 H /1882 M. Cetakan pertama diterbitkan oleh Mathbaah al-Bahiyyah di
Mesir pada tahun 1301 H/ 1883 M. Kitab ini masih terus dicetak sehingga
kini oleh pelbagai percetakan termasuk beberapa percetakan di Surabaya,
Bandung, Singapura, Pulau Pinang, Patani, bangkok dan lain-lain.
2. Al-Ibriz al-Sarsi fi fanni al-Sarfi. Disiapkan pada 1308 H/ 1890 M.
Kitab ini hanya sekali dicetak oleh United Press, Pulau Pinang. .
3.
Ibniatu al-Asma’ wa al-Af’al. Karya ini telah dicetak oleh beberapa
percetakan di Patani, Kelantan dan Bangkok. Percetakan kitab ini
sentiasa digabungkan dengan cetakan kitab al-Risalah al-fataniah.
4.
Matnu Dhammin wa Madkhal. Kitab ini pernah diterbitkan oleh al-Ahmadiah
Press, Singapura dengan diletakkan nama Muhammad Shiddiq, Sapat,
Inderagiri sebagai pengarangnya. Keadaan ini telah menimbulkan
kekeliruan. Manuskrip asli kitab ini jauh lebih lengkap daripada yang
pernah diterbitkan Edisi cetakan kitab ini sangat banyak, sama ada
cetakan di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara.
5. al-Risalah
al-Fataniah. Cetakan kitab ini juga sangat banyak dan masih gunakan di
pusat pengajian sistem pondok di Kelantan, Kedah, Patani, bangkok dan
Burma. 6. Tadriju al-Shibyan. Tanpa tahun, membicarakan ilmu balaghah.
Pernah dicetak di Makkah dan Mesir.
7. Ilmu al-Isti’arah. Tanpa
catatan tarikh. Cetakan pertama risalah ini diterbitkan oleh Mathba’ah
al-Miriyah al-Kainah, Makkah pada tahun 1325 H / 1907 M Selain itu,
masih banyak khazanah berharga karya-karya Syeikh Ahmad al-Fatani dalam
bidang bahasa Arab yang masih dalam bentuk manuskrip dan ada diantaranya
yang tidak sempat disiapkan oleh beliau.
Antaranya ialah : 1. al-Thimar al-Syahiyyah. Manuskrip ini membicarakan ilmu Nahu, diselesaikan penulisannya pada tahun 1294 H.
2. Syarh al-Thimar al-Syahiyyah. Manuskrip ini merupakan huraian
terhadap kitab al-Thimar al-Syahiyyah di atas oleh Syeikh Ahmad
al-Fatani sendiri. Namun karya ini tidak sempat disiapkan oleh beliau.
3. Manzumat al-Awamil. Manuskrip ini disiapkan penulisannya pada 1296
H/ 1879 M. Kitab ilmu nahu ini mengandungi 69 bait syair dan merupakan
usaha Syeikh Ahmad al-Fatani merubah karya Syeikh Abdul Qahir al-Jurjani
(meninggal 471 H) dari bentuk prosa kepada bentuk syair.
4. Ilmu
al-Sarf. Disiapkan pada tahun 1317 H / 1899 M. Manuskrip ini antara
khazanah ilmu yang telah dibuang ke sungai Jambu tetapi telah sempat
diselamatkan.
5. Syarah Matni al-Fataniah. Menurut Wan Shaghir,
manuskrip asli kitab beliau temui pada tahun 2004 M di rumah Syeikh Wan
Ibrahim Bin Wan Abdul Qadir iaitu sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fatani.
Karya ini tidak sempat disiapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fatani, dan
keadaan manuskrip ini juga sudah tidak elok.
6. ’Unqudu al-La-aali.
Karya ini mengenai ilmu Nahu yang digubah dalam bentuk 98 bait syair.
Karya dalam bentuk manuskrip asli ini telah diselesaikan pada tahun 1296
H / 1879 M. 3.6.2- Ilmu berkaitan al-Quran Ilmu berkaitan al-Quran
ialah seumpama ilmu Tafsir,Ilmu Asbab Nuzul, Ilmu Rijal al-Tafsir, Ilmu
Tajwid, Ilmu Qiraat, Ilmu Fadhail ayat al-Quran dan lain-lain yang
bersangkutan dengan kitab suci itu.
Syeikh Ahmad al-fatani,
sebagai ulama’ besar telah memberikan sumbangan yang besar dalam
mengajar dan memperkembangkan ilmu-ilmu tersebut. Ada diantara bidang
ilmu al-Quran yang sempat beliau tulis dan ada yang beliau tashihkan. Di
dalam bidang tafsir al-Quran, keterlibatan dan sumbangan Syeikh Ahmad
al-fatani dapat dibuktikan dengan munculnya kitab Turjuman al-Mustafid
atau lebih dikenali dengan Tafsir Baidhawi Melayu. Kitab ini merupakan
karangan Syeikh Abdul Rauf Bin Ali al-Fansuri, dan dikatakan kitab ini
merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama sekali dalam
bahasa Melayu. Pentashih pertama kitab ini ialah Syeikh Ahmad al-Fatani,
dan di atas usaha beliaulah kitab ini dapat diterbitkan.
Selain
mentashih Syeikh Ahmad al-fatani juga pernah menyusun kita terjemahan
dan tafsir al-Quran, namun sayangnya dipercayai bahawa manuskrip karya
beliau itu telah dibuang ke Sungai Jambu pada tahun 1970. Dalam ilmu
Tajwid pula, Syeikh Ahmad pernah menyusunnya tetapi hanya dalam bentuk
manuskrip yang tidak lengkap. Selain itu terdapat dua buah kitab tajwid
yang beliau tashihkan iaitu kitab al-Mawahib al-Makkiyah, karangan
Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Rahman al-Fatani dan kitab Maurid al-Zaman,
karangan Syeikh Abdukllah Bin Qasim Senggora. Pada kedua-dua kitab
tersebut terdapat syair gubahan Syeikh Ahmad al-Fatani di dalam bahasa
Arab dan bahasa Melayu. 3.6.3- Ilmu berkaitan Hadis Sepertimana al-Quran
yang mempunyai kepelbagaian ilmu yang berkaitan dengannya demikian juga
keadaannya dengan Hadis. Antara disiplin ilmu yang berkaitan dengan
Hadis ialah ilmu Mushthalah Hadis, Ilmu Dirayah Hadis dan Ilmu Rijal
Hadis. Syeikh Ahmad al-fatani selain penghafal Hadis dalam jumlah yang
banyak, beliau juga telah khatam pengajian ilmu-ilmu Hadis terutama
kitab-kitab karangan ulama’ Ahlu Sunnah. (wan Shaghir,2005,jld 2:228)
Sumbangan Syeikh Ahmad al-Fatani dalam ilmu Hadis pula dapat dilihat
menerusi beberapa karya dan usaha pentashihan yang beliau lakukan. Kitab
beliau yang pernah dicetak dalam bidang ini ialah Bisyarat al-’Amilin
wa Nazarat al-Ghafilin iaitu sebuah kitab Hadis dalam bahasa Melayu.
Beliau juga ada menyusun sebuah lagi kitab dalam bahasa Arab, namun
kitab tersebut masih dalam bentuk manuskrip.
Selain itu, dalam
karya beliau Hadiqat al-Azhar wa al-rayyahin juga banyak terdapat Hadis
dan terjemahannya. Disamping menulis beliau juga melakukan pentashihan
terhadap beberapa buah kitab yang membicarakan ilmu Hadis dalam bahasa
Melayu. Terdapat tiga buah kitab yang telah dikenal pasti ditashih oleh
beliau iaitu Kitab Kashfu al-Ghummah karya Syeikh Daud Bin Abdullah
al-Fatani, al-Jauhar al-Mauhub karya Syeikh Wan Ali Bin Abdul Rahman
Kutan al-Kelantani, dan al-Kaukab al-Durri karya Syeikh Muhammad Bin
Ismail al-Fatani. 3.6.4- Ilmu Feqah Dalam ilmu Feqah pula
sekurang-kurangnya 3 judul kitab Feqah dalam bahasa Melayu karangan
Syeikh Ahmad al-Fatani yang telah diterbitkan dan sebuah dalam bahasa
Arab yang tidak sempat diterbitkan. Kitab-kitab tersebut ialah,
al-Bahjat al-Mubtadin wa Farhatu al-Mujtadin, tahun 1310 H/ 1893 M,
Unwanu al-Falah wa ”unfawan al-Shalah, tahun 1319 H/1902 M, dan
al-Fatawa al-Fataniah.
Syeikh Ahmad al-Fatani juga terlibat Fiqh
Nusantara sebagai pentashih pertama dan penyebar kitab-kitab feqah yang
dikarang oleh para ulama’ sebelumnya. Antara kitab-kitab yang
ditashihkan oleh beliau ialah, al-Shiratu al-Mustaqim, Sabil
al-Muhtadin, Furu’ al-Masail, Mir-atuth al-Thalibin, Sullamu al-Mubtadi,
Fathu al-Mannan, al-Jawahir al-Saniyyah, Mathla’u al-Badrain dan Kasyfu
al-Litsam. Selain yang tersebut, terdapat juga sebuah kitab feqah
bahasa Arab yang terkenal di seluruh dunia iaitu kitab I’anat
al-Thalibin karangan Sayyid Abu Bakri Syatha (meninggal 1892 M) juga
ditashihkan oleh Syeikh Ahmad al-Fatani.
3.6.5- Ilmu Matematik
dan Falak Antara kelebihan ulama’ berdarah Melayu ini, ialah kemampuan
beliau yang tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu. Antara ilmu yang tidak
terlepas daripada genggaman beliau ialah ilmu Hisab atau Matematik dan
Falak. Keterlibatan Syeikh Ahmad al-Fatani dalam ilmu matematik dapat
dilihat dalam kitab beliau al-Fatawa al-Fataniyah dan usaha penerbitan
dan pentashihan kitab Matnu al-Sakhawiyyah fi Ilmi al-Hisab karya Syeikh
Abdul Qadir al-Sakhawi. Kitab tersebut telah diterbitkan pada tahun
1304 H / 1886 M. Selain itu beliau juga telah menyusun satu syarah
kepada kitab Matan Sakhawi yang disiapkan pada tahun 1304 H / 1886 M.
Semua karya tersebut adalah di dalam bahasa Arab.
Selain ilmu
matematik biasa, terdapat juga ilmu matematik yang sangat erat
hubungannya dengan ilmu Falak. Bidang ini lebih banyak diberi tumpuan
oleh beliau berbanding ilmu matematik biasa. Pada tahun 1305 H/ 1887 M
Syeikh Ahmad al-Fatani telah mentahqiqkan kitab Wasilat al-Tullab li
Ma’rifati A’mal al-Lail wa al-Nahar bi Thariq al-Hisab karya Syeikh
al-Khaththab. Pada tahun 1313 H / 1895 M pula beliau telah mentahqiqkan
kitab Ghayat al-Idrak fi al-A’mal bi Kurat al-Aflak. Menurut Wan Shaghir
(2005) karya terbesar Syeikh Ahmad al-Fatani mengenai ilmu Falak
berjudul al-Rubu’ al-Mujayyab tetapi tidak sempat disiapkan. Keilmuan
mendalam Syeikh Ahmad al-Fatani dalam ilmu Hisab dan Falak telah memberi
kesan yang besar kepada dunia Melayu dalam perkembangan ilmu Hisab dan
Falak khususnya pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 Masihi.
Beberapa orang anak murid beliau memainkan peranan penting dalam
memperkasakan ilmu ini di Alam Melayu.
Antara mereka yang
terkenal ialah Syeikh Abdul Rahman Gudang al-Fatani, Syeikh Muhammad Nur
al-Fatani, Haji Umar Bin Ismail Nuruddin Kelantan, Syeikh Tahir
Jajaluddin al-Azhari al-Falaki, Syeikh Jamil Jambek, Haji Abdullah
Fahim, Mufti Pulau Pinang dan ramai lagi (Wan Shaghir, 2005). 3.6.6-
Ilmu Perubatan Seperti yang telah dinyatakan, Syeikh Ahmad al-Fatani
telah mendapat pendidikan khusus dalam bidang kedoktoran daripada Syeikh
Abdul Rahim al-Kabuli, yang merupakan seorang doktor atau thabib yang
berasal dari Kabul, Afghanistan. Bukan sekadar itu, bahkan Syeikh Ahmad
al-Fatani juga telah terlibat secara lansung sebagai pengamal perubatan.
Menurut Wan Shaghir (2005), Syeikh Ahmad al-Fatani dikenali oleh
beberapa orang doktor di Mesir pada zaman itu, di mana telah ditemui
beberapa pucuk surat yang dikirim oleh doktor-doktor dari Mesir kepada
Syeikh Ahmad al-Fatani di Makkah yang meminta beliau bekerjasama dengan
mereka untuk membuat penelitian terhadap pelbagai jenis ubat-ubatan yang
baru diperkenalkan.
Terdapat dua buah karya Syeikh Ahmad
al-Fatani dalam bidang ilmu perubatan. Salah satunya dalam bahasa Melayu
yang berjudul Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan, yang telah siap
disusun pada 1312 H / 1894 M. Selain itu, terdapat beberapa halaman
dalam kitab beliau, Hadiqat al-Azhar dan Luqthah al-’Ajlan yang
menyentuh tentang perubatan (Wan Shaghir,2005,Jld 2:179). 3.6.7- Ilmu
Sejarah Syeikh Ahmad al-Fatani dapat diklasifikasikan sebagai golongan
ulama’ pertama daripada dunia Melayu yang menulis dalam pelbagai aspek
sejarah sama ada dalam konteks tamadun Islam mahupun dalam konteks
sejarah Melayu. Dalam bidang sirah Nabi beliau telah menghasilkan 3 buah
karya, salah satu daripadanya dalam bentuk puisi Arab yang berjudul
al-Lum’ah al-Nuraniyah wa Nafahat al-Miskiyah.
2 lagi dalam bahasa
Melayu namun satu darinya dalam bentuk prosa dan satu lagi dalam bentuk
puisi. Yang dalam bentuk prosa disiapkan pada tahun 1307 H/ 1889 M
dengan judul Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Tsawaqib. Kitab ini telah
diulang cetak beberapa kali. Adapun sirah Nabi dalam bentuk puisi Melayu
pula masih dalam bentuk manuskrip dan merupakan karya beliau yang
pertama sekali iaitu ketika beliau berusia 15 tahun. Selain menulis
tentang sirah Nabi, Syeikh Ahmad al-Fatani juga menulis tentang biografi
imam mujtahid yang empat, biografi para wali Allah dan sejarah
perkembangan Islam di Hindia-Belanda (Indonesia) yang dimuatkan di dalam
kitab Hadiqat al-Azhar. Selain sejarah dan tamadun Islam, di dalam
kitab tersebut juga dimuatkan sejarah yang menyentuh asal usul Bugis
–Melayu, juga beberapa pemikiran sejarah dalam bentuk prosa dan puisi.
Disamping itu, beliau juga menulis tentang sejarah Turki Uthmaniah dan
kitab tersebut pernah dicetak bersama kitab Hadiqat al-Azhar.
Selain yang disebutkan Syeikh Ahmad al-Fatani juga dikatakan pernah
mengarang tentang sejarah Patani yang lengkap dengan diberikan judul
Fadhilah Ahmad al-Fatani, namun menurut Wan Shaghir karya tersebut belum
ditemui.
3.7 SUMBANGAN TERHADAP PERKEMBANGAN ILMU KALAM DI ASIA
TENGGARA Para ulama’ Nusantara amat menitik beratkan ilmu berkaitan
aqidah. Selain menyampaikan dakwah melalui pengajaran di
madrasah-madrasah ataupun di masjid dan surau, mereka juga giat
membukukannya agar aqidah yang benar terpelihara dan terus dapat
dikembangkan. Terdapat banyak karya para ulama’ Melayu yang menyentuh
aspek aqidah ini. Ada yang disusun dalam bentuk yang ringkas dan ada
membahaskannya dengan panjang lebar. Karya pertama yang ditemui ialah
terjemahan kitab al-Aqa’id al-Nasafi” karangan asal Umar Najm al-Din
al-Nasafi. Karya terjemahan ini tidak diketahui penterjemahnya,
dilakukan pada 998 H / 1590 M. Kitab ini telah diperkenalkan buat
pertama kalinya oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan buku yang
diberi judul The Oldest Known Malay Manuscript A 16Th Malay
Translatration Of The ‘Aqaid al-Nasafi’ (1988). (Syafie Abu
Bakar,2000:hlm 410). Selepas itu, muncul pula karya berjudul Ilmu Tauhid
yang ditulis oleh Ahmad Bin Aminuddin al-Qadhi Kedah, pada tahun 1032 H
? 1622 M. Lapan tahun selepas itu, lahir pula Karya Syeikh Nuruddin
al-Raniri yang bertajuk Duraru al-Faraid bi Syarhi al-‘Aqaid yang
disiapkan pada tahun 1040 H/ 1630 M. Selepas itu Syeikh Syihabuddin
al-Haji Bin Abdullah al-Jawi pula menyusun sebuah lagi kitab dengan
diberi tajuk Syarh ‘Aqaidi al-Iman yang diselesaikan pada tahun 1162H /
1748 M.
Selanjutnya pada tahun 1170 H / 1756 M. muncul pula karya
Syeikh Muhammad Zain Bin Faqeh Jalaluddin Aceh dengan judul Bidayat
al-Hidayah . Kitab ini telah dicetak di beberapa percetakan dengan di
tashihkan oleh oleh Syeikh ahmad al-Fatani. Atas usaha beliau maka kitab
tersebut telah tersebar ke serata Nusantara dan sehingga sekarang masih
terdapat di pasaran kitab. Kitab-kitab sebelum kitab Bidayat al-Hidayah
seperti yang telah disebutkan sudah tidak terdapat di pasaran, maka
dengan sebab itu boleh dikatakan bahawa kitab Bidayat al-Hidayah adalah
kitab aqidah dalam bahasa Melayu tertua yang masih wujud. Selepas
kecemerlangan kitab Bidayat al-Hidayah, lahirlah nama-nama besar dalam
arena persuratan aqidah di Alam Melayu. Antara mereka ialah Syeikh Abdul
Samad al-Palembangai dengan kitabnya Zahrat al-Murid fi Bayani Kalimat
al-Tauhid yang disiapkan pada tahun1178 H / 1764 M. Sepuluh tahun
selepas itu muncul pula Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan judul
kitabnya Tuhfat al-Raghibin fi Bayani Haqiqat Iman al-Mukminin, tahun
1188 H / 1774 M. Ulama’ yang paling produktif dalam penghasilan karya
dalam bidang ini ialah Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fatani dengan
sekurang-kurang 7 karya telah dihasilkan iaitu ; 1- Kifayat al-Mubtadi
wa Irsyadu al-Muhtadi, tanpa tarikh. 2- Risalat Ta’alluqi bi Kalimat
al-Iman 3- Dhiaul al-Murid, tanpa dinyatakan tahun. 4- Al-durr
al-Tsamin, tahun 1232 H / 1817 M. 5- Wardu al-Zawahir, tahun 1245 H /
1831 H. 6- Al-Bahjat al-Wardiyah, tahun 1259 H / 1845 M. 7- Al-Bahjah
al-Saniyah fi al-’Aqidah al-Sunniah, tahun 1258 H / 1844 M. Selain
kitab-kitab tauhid yang disusun khas seperti di atas, Syeikh Daud
al-Fatani juga menulis ilmu ini pada bahagian awal kitab-kitab feqahnya
iaitu kitab Hidayat al-Muta’allim, al-Jawahir al-Saniyyah, Sullamu
al-Mubtadi, Fathu al-Mannan dan Furu’ al-Masail. Selain Syeikh Daud
al-Fatani terdapat beberapa orang lagi tokoh dalam bidang ini seperti
Syeikh Abdul Rahman Siddiq Bin Muhammad Afif, Mufti kerajaan Inderagiri,
Sumatera, dengan kitabnya Fathu al-’Alim, juga Syeikh Zainal Abidin Bin
Muhammad al-Fatani dengan kitabnya ’Aqidat al-Najin, tahun 1308 H /
1890 M. Disamping itu tidak ketinggalan Syeikh Zainuddin Bin Muhammad
Badawi dengan kitabnya Siraj al-Huda. Tokoh kedua yang banyak berkarya
dalam bidang ini selepas Syeikh Daud al-Fatani ialah Syeikh Ahmad
al-Fatani dengan menghasilkan sekurang-kurangnya 7 buah kitab. Sinopsis
ringkas kitab-kitab tersebut adalah seperti berikut iaitu : 1- Jumantut
Tauhid, diselesaikan Masjid Al-Azhar, Mesir tahun 1293 H /1876 M 2-
Munjiatul ‘Awwam li Manhajil Huda minaz Zhalam, diselesaikan di Masjid
Al-Azhar, Mesir, tahun 1293 H / 1876 M 3- Minhajus Salam fi Syarhi
Hidayatul ‘Awwam, diselesaikan di Makkah, tahun 1306 H / 1888 M 4-
‘Iqdul Juman fi ‘Aqidatil Iman, diselesaikan di Makkah , 1306 H / 1888
5- Risalah Kecil Sifat Dua Puluh, 1321 H / 1895 M 6- Faridatul Faraid fi
‘Ilmil ‘Aqaid , diselesaikan di Makkah, 1313 H / 1895 M 7- An-Nurul
Mubin , diselesaikan di Makkah, tanpa tarikh. Selain karya khusus
seperti yang dinyatakan, terdapat juga karya tauhid beliau yang disisip
pada bahagian awal kitab-kitabnya yang lain seumpama pada kitab
al-Bahjatu Mubtadin dan ‘Unwanu al-Falah.
Disamping itu terdapat
juga penjelasan yang panjang mengenai aqidah yang dimuat pada bahagian
awal al-Fatawa al-Fataniah, juga pada Hadiqat al-Azhar. Selain itu,
tulisan beliau juga terdapat pada kitab-kitab aqidah yang
ditashihkannya, di antaranya di bahagian tepi kitab Bidayat al-Hidayah
karangan Syeikh Muhammad Zain Bin Faqeh Jalaluddin Aceh dan pada al-Durr
al-Tsamin karangan Syeikh Daud al-Fatani. Selain menulis dan mengajar
bidang ilmu kalam ini, Syeikh Ahmad al-Fatani juga memainkan peranan
yang sangat besar terhadap penyebaran kitab-kitab aqidah yang di karang
oleh para ulama’ sebelumnya, mahupun sezaman dengannya. Bermula dengan
kitab Bidayat al-Hidayah karangan Syeikh Muhammad Zain Bin Faqeh
Jalaluddin Aceh hingga karya Syeikh Daud al-Fatani semuanya ditashih dan
diusahakan percetakannya oleh Syeikh Ahmad al-Fatani.(Wan Shaghir,2001)
Dengan penjelasan di atas, dapat dirumuskan bahawa Syeikh Ahmad
al-Fatani merupakan tokoh terbesar dalam penyebaran ilmu Islam di
Nusantara.
3.8 PERJUANGAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA Sumbangan
pemikiran Syeikh Ahmad al-Fatani tidak terbatas pada dunia Melayu sahaja
malah sumbangan dan jasanya menjangkaui dunia Islam keseluruhannya.
Perkara ini dapat dibuktikan dengan beberapa siri perjuangan dan
pemikiran yang dilakukan semasa hidupnya. Secara ringkasnya siri
perjuangan tersebut dapat dinyatakan dalam 4 perkara;
3.8.1
Menyebarkan keilmuan Islam melaui media cetak Sebelum zaman hidupnya
Syeikh Ahmad al-Fatani, media cetak dunia Melayu hanya menggunakan huruf
batu (litografi). Naskhah yang diterbitkan pula berkisar kepada syair
dan hikayat. Kitab-kitab hukum hakam Islam seperti fiqh, tauhid, tasauf
dan ilmu-ilmu lain, hampir-hampir tidak dipedulikan. Keadaan yang sama
berlaku di dunia Islam yang lain.
Dalam tahun 1871 Masihi Syeikh
Ahmad al-Fatani yang ketika itu berusia 16 tahun mulai menyedari perkara
itu setelah beliau menemui beberapa kitab yang diterbitkan tidak
sesempurna tulisan tangan aslinya. Timbullah aspirasi daripada beliau
untuk membuat penelitian terhadap naskhah secara mendalam. Kitab-kitab
yang telah ditelitinya sama ada dalam bahasa Arab mahupun Melayu di
bawanya pergi ke Mesir pada tahun 1876 Masihi .
Di Mesir beliau
mengemukakan ideanya kepada sahabatnya Syeikh Mustafa al-Baby al-Halaby,
seorang saudagar Arab yang memiliki mesin cetak, namun hanya naskhah
dalam bahasa Arab yang dipersetujui oleh Syeikh Mustafa al-Halaby. Maka
Syeikh Ahmad al-Fatani pun mula bekerjasama dengan Syeikh Mustafa
al-Halabiy dalam membuat penelitian terhadap kitab-kitab Arab yang akan
diterbitkan. Kitab-kitab Melayu pula, Syeikh Ahmad al-Fatani mendapat
modal daripada al-Amjad al-Kasmiri Fida Muhammad dan anaknya Abdul
Ghani, seorang India yang beragama Islam di Mesir.
Ketika inilah
Syeikh Ahmad al-Fatani mencipta satu istilah ” tashih” dan ”taslih”.
Kitab Melayu pertama yang ditashihkannya ialah Hidayat al-Salikin, karya
Syeikh Abdul Somad al-Falembani yang dicetak oleh Matba’ah Syeikh Hasan
al-Tukhi yang terletak berhampiran Masjid Jamik al-Azhar.
Sementara
itu di Makkah, Syarif Makkah melarang kemasukan kitab-kitab selain
bahasa Arab di Makkah dan Madinah. Keadaan ini menyebabkan Syeikh Ahmad
al-Fatani mengirim surat protes kepada Sultan Abdul Hamid Khan Tsani,
Sultan Turki Usmaniah yang berkuasa pada ketika itu. Syeikh Ahmad
al-Fatani memahami strategi dan situasi politik pada ketika itu, di mana
Syarif Makkah pada ketika itu adalah di bawah panji-panji kesultanan
Turki Usmaniah. Di samping itu, beliau juga bercita-cita untuk mengadap
Sultan Turki Usmaniah untuk membuat perbincangan. Namun, sebelum itu,
beliau terlebih dahulu membuat pengembaraan ke merata tempat di Timur
tengah dan Eropah untuk mempelajari teknologi terkini mesin cetak.
Dengan takdir Allah S.W.T. Syeikh Ahmad al-Fatani diundang bertemu
mengadap Sultan Abdul Hamid Khan Tsani dan segala pandanganya dikemukan
kepada baginda. Dengan hujah-hujah yang mantap akhirnya Sultan Abdul
Hamid khan menerima pemikiran Syeikh Ahmad dan beliau telah dilantik
sebagai Ketua Jawatankuasa Pengadaan Percetakan kerajaan Turki Uthmaniah
( Matb’ah al-Amiriyah) Turki-Uthmaniah.
Akhirnya, tiga buah
percetakan kerajaan Turki diwujudkan iaitu di Istanbul, Kaherah dan
Makkah. Pada awalnya ketiga-tiga percetakan tersebut di namakan Matba’ah
al-Amiriyah, akhirnya disingkatkan dengan nama Matba’ah al-Miriyah
sahaja. Setelah setahun Syeikh Ahmad al-Fatani bertugas di Istanbul,
beliau bertugas pula di Matba’ah al-Miriyah al-Kainah bi Bulaq, Mesir,
sebagai Ketua Tashih Matba’ah yang berperanan melakukan tashih terhadap
kitab-kitab Arab dan Melayu. Selepas itu, pada tahun 1882 Masihi barulah
Syeikh Ahmad al-Fatani berpindah ke Makkah menjadi Ketua Tashih di
Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah al-Musyarrafah.
Setelah di
Makkah barulah beliau membahagikan tugas tashih kepada beberapa
bahagian. Bahagian Bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi
ditugaskan kepada dua orang muridnya iaitu Syeikh Daud Bin Ismail
al-Fatani dan Syeikh Idris Bin Hussein al-Kelantani. Untuk menyemak
karya yang berasal dari Aceh ditugaskan kepada Syeikh Ismail Bin Abdul
Mutallib al-Asyi, bahgian jawa pula diserahkan kepada Syeikh Abdul Hamid
Kudus dan bahagian Bugis diserahkan kepada Syeikh Muhammad Amin Bugis.
Sekitar tahun 1882 Masihi hingga 1889 Masihi Syeikh Ahmad al-Fatani
sering berulang alik antara Mesir, Makkah, Istanbul dan dua kali
mengunjungi Bombay, Cam, Patani, Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan
Riau.
Kitab-kitab yang dicetak dengan permodalan Kerajaan Turki
Uthmaniah disebarkan secara besar-besaran ke seluruh dunia Islam. Selain
itu Syeikh Ahmad al-Fatani juga merancang Memperkembangkan media cetak
itu di dunia Melayu, dengan tujuan mencetak karya-karya yang dihasilkan
oleh para ulama’ dan intelektual Melayu sendiri. Beliau telah melantik
beberapa muridnya sebagai perintis ke arah itu. Di Kelantan beliau
melantik Syeikh Daud Bin Ismail al-Fatani dan percetakannya dinamakan
Matba’ah al-Miriyah al-Kalantaniyah yang terletak di Kota Bharu. Raja
Ali Kelana pula ditugaskan di Riau dengan nama percetakan Matba’ah
al-Miriyah al-Ahmadiyah atau lebih dikenali Matba’ah Ahmadiyah. Selain
itu dinamakan juga Matba’ah al-Miriyah al-Riyauwiyah atau lebih dikenali
Matba’ah Riyauwiyah. Matba’ah di Riau ini kemudiannya dilanjutkan
dengan penubuhan Matba’ah al-Usrah di Singapura.
3.8.2
Memperjuangkan kemerdekaan Bangsa Melayu. Selain seorang ulama’ yang
menjadi pelupor di arena percetakan, Syeikh Ahmad al-Fatani juga
merupakan seorang pejuang kemerdekaan. Semenjak diusia muda beliau telah
menjadi penggerak gerakan memperjuangkan kemerdekaan umat Islam dari
penjajahan bangsa penjajah. Pada tahun 1290 H / 1873 M beliau telah
mengasaskan Jam’iyatu al-Fatanah dan ianya berlanjutan hingga ke hari
tuanya. Ahli- ahli organisasi tersebut terdiri daripada semua ulama’ dan
pelajar yang berasal dari dunia Melayu yang berada di Makkah ketika
itu. Organisasi tersebut, selain memperjuangkan bahan-bahan percetakan,
turut mempunyai pusat jualan buku di Makkah dan lain-lain, sekaligus
mengkaderkan para pelajar Melayu di Makkah ke arah pembebasan tanah air
dari cengkaman penjajah. Syeikh Ahmad al-Fatani berulang kali meminta
bantuan kerajaan Turki Uthmaniah disambing beliau memperkenalkan
beberapa orang muridnya. Diantara mereka yang dikaderkan khusus untuk
dunia diplomatik ialah Raja Ali Kelana yang berasal dari Riau. Pengaruh
Jam’iyat al-Fatanah yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad al-Fatani di Makkah
itu telah memberikan ilham dan kepandaian dalam pengurusan
berorganisasi kepada murid-muridnya.
Kesan daripada tarbiah
tersebut lahirlah pelbagai organisai di Tanah Melayu yang dibangunkan
oleh murid-muridnya. Antara yang terawal ialah penubuhan Rusydiyah Klab
tahun 1880 Masihi dan Jam’iyat al-Khairiyah di Riau. Sementara itu
pelajar-pelajar Melayu di Mesir menubuhkan al-Jam’iyyat al-Khairiyah Fi
Talabah al-Azhariyah al-Jawiyyah pada tahun 1923 Masihi. Di Indonesia,
tertubuhnya Nahdhatu al-Ulama’ yang merupakan organisasi Islam terbesar
di Indonesia hingga ke hari ini, yang dipolupori K.H Hasyim Asya’ari,
juga merupakan murid kepada Syeikh Ahmad al-Fatani. Seorang lagi murid
beliau K.H. Sulaiman Rasuli dan kawan-kawannya telah menubuhkan
Persatuan Tarbiah Islamiah, yang pernah menjadi parti politik Islam di
Indonesia.
Selain itu, murid-murid Syeikh Ahmad al-Fatani yang
berada di Kelantan seperti Tok Kenali, Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka
Raja Kelantan dan lain-lain merupakan pengasas kepada tertubuhnya
Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. 3.8.3 Mewakili
ulama’ Makkah demi kepentingan Islam. Syeikh Ahmad al-Fatani telah
diiktiraf sebagai ulama’ besar di Makkah pada zamannya. Status ini
secara tidak lansung, telah menggolongkan beliau dalam senarai golongan
ulama’ besar di peringkat antarabangsa. Perkara ini dapat dibuktikan
dimana Syeikh Ahmad al-Fatani sentiasa menjadi wakil dalam setiap
persidangan ulama’ yang diadakan sama ada di Istanbul, Turki dan
lain-lainnya. Antara peristiwa terpenting ialah kepercayaan yang
diberikan kepada beliau mewakili ulama Makkah untuk bertemu dengan
Syeikh Muhammad Abduh di Mesir dan Saiyid Muhammad Yusuf al-Nabhani di
Beirut bagi mencari titik perdamaian dalam pertikaian khilafiah antara
mereka berdua. Dalam deligasi tersebut, Syeikh Ahmad al-Fatani membawa
beberapa orang muridnya di antaranya To Kenali.
3.8.4 Orang
kepercayaan Kerajaan Turki Usmaniyyah. Selain diberi kepercayaan sebagai
pengelola dan perancang kerja-kerja percetakan dan penerbitan kerajaan
Turki Usmaniyyah yang telah disebutkan, Syeikh Ahmad al-Fatani juga
telah dilantik sebagai Tokoh Bahasa dan Sastera Arab Kerajaan Turki
Usmaniyyah di Hijaz dan Penasihat Syarif atau Raja Makkah. Perlantikan
dilakukan serentak dengan dikurniakan anugerah sebagai rakyat Turki
Uthmiyah pada 28 Rejab 1307 H / 1889 Masihi, demi memudahkan
urusan-urusan pentadbiran dan politik. Selain itu, berdasarkan isi
kandungan surat-surat timbal balik antara Syeikh Ahmad al-Fatani dengan
beberapa sultan di dunia Melayu, dapatlah disimpulkan pula bahawa beliau
juga merupakan penasihat kepada sultan –sultan Melayu, walaupun tidak
rasmi seperti yang berlaku dengan kerajaan turki Usmaniyyah.
Di
antara surat-surat yang telah di temui seperti surat dari Raja Kelantan,
yang menyentuh berkenaan Tariqat Ahmadiyah, surat Raja Muda Jambu,
mengenai campur tangan kerajaan Siam di Negeri Jerim, dan surat kepada
Sultan Zainal Abidin III, mengenai isu bahasa Melayu, tamadun Islam,
perundangan dan lain-lain lagi (Wan Shaghir,1995, kertas kerja:seminar
antarabangsa kesusateraan Melayu IV).
3.9 Rumusan Berdasarkan
keterangan yang telah diberikan dapatlah disimpulkan bahawa Syeikh Ahmad
al-Fatani sememangnya seorang ulama’ Islam yang ulung dan berjasa besar
dalam menyampaikan risalah Islam. Ulama, berdarah Melayu dari Negeri
Fatani ini sepatutnya menjadi inspirasi kepada anak-anak Melayu yang
lain bahawa mereka juga boleh setanding dengan bangsa-bangsa lain,
menjadi ilmuan dan tokoh dipersada antarabangsa. Kehebatan beliau
bukanlah datang bergolek, tetapi dengan kecekalan dan kesabaran yang
tidak putus disamping keberkatan doa yang tulus daripada orang-orang
tuanya. Kita juga dapat melihat bagaimana untuk melahirkan insan berjiwa
hebat seperti Syeikh Ahmad al-Fatani bermula dengan keturunan yang
hebat-hebat dan mulia juga. Perkara ini bukanlah suatu yang aneh, bahkan
ia merupakan sunnatu Allah . Lihat sahaja junjungan besar Nabi Muhammad
SAW dilahirkan dari susur galur yang terbaik dan termulia. Berkat
ketaqwaan si bapa atau si datuk, sedikit sebanyak akan mencurah kepada
keturunannya, dan perkara ini kita dapat lihat dengan jelas pada sejarah
hidup Syeikh Ahmad al-Fatani. Selain yang disebutkan, pembinaan insan
bertaraf ulama’ seperti Syeikh Ahmad al-Fatani bermula semenjak
ubun-ubunnya masih lembut. Semenjak awal beliau telah didedahkan dengan
al-Quran dan ilmu-ilmu alat yang lain yang menjadi teras dan asas kepada
penguasaan ilmu-ilmu lain.
Disamping itu, pendampingan beliau
dengan guru-guru yang mursyid telah memberi kesan mendalam tehadap
pembentukan peribadi luhur serta ilmu yang berkesan. Ulama’ yang sebenar
bukanlah yang hanya pandai mengajar kitab dan mengetahui selok belok
hukum hakam.
Ulama’ yang sebenar ialah mereka yang mampu
menghidupkan ummah dengan ilmu dan ketaqwaan, mampu merongkai
permasalahan dan delema ummah, memimpin manusia dicelah-celah ranjau
dunia yang berliku menuju petujuk ilahi. Perkara ini hanya mampu
dilakukan oleh mereka yang benar-benar tulus hubungannya dengan Allah
disamping mempunyai pengalaman dan pengetahuan meluas tentang dunia yang
melingkunginya. Pengalaman dan pengetahuan Syeikh Ahmad al-Fatani yang
meluas melalui pengembaraannya menuntut ilmu barangkali telah membentuk
dimensi yang baru terhadap masa depan umat Islam khususnya bangsa
Melayu. Jauh perjalanan luas pandangan apatah lagi kerana mencari ilmu
pengetahun, telah membentuk personaliti dan pemikiran yang mampan.
Mudah-mudahan kejayaan Syeikh Ahmad al-Fatani dalam mendidik dan
mengembangkan ilmu Islam dapat dijadikan tauladan dan inspirasi kepada
generasi alaf baru ini untuk terus menyambung bakti, menyampaikan
risalah Islam.